Thursday, July 16, 2015

Halaqah Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi

HALAQAH KLINIK CURE & CARE 1MALAYSIA TAMPOI

Tampoi :

 

Program Halaqah merupakan salah satu komponen di dalam Program Rawatan dan Pemulihan yang dijalankan di Klinik Cure & Care 1Malaysia Tampoi. Program ini dilaksanakan sebaik sahaja klien masuk ke asrama induk dengan diberikan taklimat berkaitan program kerohanian yang dijalankansepanjang mereka berada di Klinik C&C 1Malaysia Tampoi.

 

Klien diterangkan tentang konsep bersuci dan tatacara mandi wajib yang sempurna sebelum mereka diterangkan pula dengan konsep taubat. Penekanan utama di dalam Halaqah adalah solat. Klien diwajibkan untuk menunaikan setiap solat fardu secara berjemaah di masjid dan membaca zikir dan wirid serta menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan. 

 

 

Setiap hari klien akan menunaikan Solat Sunat Dhuha sebelum dibahagikan kepada kelompok yang terdiri daripada Kelompok Bacaan Solat, Kelompok Doa Harian, Kelompok Surah Lazim atau Kelompok Tilawah Al-Quran. Tujuan kelompok atau kumpulan ini dibuat adalah untuk menjadikan klien berilmu melalui sistem pembelajaran dan penghafalan secara berkumpulan. Ia juga memudahkan lagi proses hafalan iaitu dengan membaca secara berulang-ulang dan beramai-ramai. Selain memudahkan proses hafalan ia juga menjimatkan masa dan pemantauan hafalan lebih mudah dilakukan.

 

 

Program-program ilmiah juga turut disediakan kepada klien dengan mendapat kerjasama daripada badan-badan bukan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Keluarga Johor Darul Takzim (YPK) dan juga daripada ahli lembaga pelawat. Selain itu juga turut dilaksanakan kursus-kursus pemantapan fardu ain dan fardu kifayah bagi klien seperti Kursus Tahsin Solat, Kursus Ibadah Pesakit dan juga Kursus Pengurusan Jenazah. Bagi memantapkan lagi hati dan jiwa klien, setiap bulan diadakan program tazkiyatun nafsiaitu Qiamullail, dengan klien bermalam dan beriktikaf di masjid serta menunaikan solat-solat sunat .

 

 

Pertandingan-pertandingan berbentuk islamik dan ilmiah seperti Pertandingan Kuiz Agama, Pertandingan Azan, Hafazan Surah Lazim serta Pertandingan Membaca Khutbah turut dilaksanakan bagi dapat mengukur sejauh mana pengetahuan dan kemahiran klien dalam pengetahuan Islam. Selain itu ia juga merupakan program berbentuk hiburan yang yang dapat merancakkan lagi proses pembelajaran Islam yang dijalankan.

 

 

Respon yang diperolehi daripada klien amat memberangsangkan iaitu mereka turut berpendapat bahawa program kerohanian adalah satu dari elemen yang dapat melahirkan kesedaran, keinsafan dan keazaman kepada mereka di dalam menerapkan nilai-nilai murni dan cara hidup yang dituntut oleh Islam seterusnya menjadi seorang muslim yang bertaqwa dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan dapatmenghindarkan diri dari sebarang gejala yang boleh merosakkan.

 

No comments:

Post a Comment